Semua pihak diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menyebarkan berita tidak sahih di laman sosial sehingga melukakan hati ahli keluarga dan umat Islam lain.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, rakyat dan kerajaan melahirkan rasa simpati atas insiden yang berlaku di Mekah Jumaat lepas yang mengorbankan lebih 100 nyawa.

“Kita mendoakan agar pihak keluarga bersabar, jangan dengar khabar angin di media sosial yang tidak bertanggungjawab dan menganggu (perasaan) keluarga terlibat.

“Sudah pasti kerajaan akan membantu keluarga, jaga keselamatan, kesihatan, sempurna haji dan Tabung Haji akan bantu untuk ringankan beban.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan banjir bagi jajahan Tumpat siang tadi.

Menurut Mustapa, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak sah termasuk tindakan blogger kontroversi Alvin Tan yang menghina dan mempersendakan insiden yang berlaku itu di akaun Facebooknya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyeru semua penduduk Orang Asli dan agensi keselamatan mempergiatkan operasi mencari tujuh pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi yang hilang yang kini sudah masuk hari ke 21.

“Saya selaku pengerusi Badan Perhubungan mahu supaya penduduk kampung terlibat bertanggungjawab dan bekerjasama mencari dan menyelamat serta menggembleng seluruh tenaga, bukan saja pasukan penyelamat, tetapi penduduk kampung seluruhnya,” kata Mustapa.

Gerakan mencari kini diperhebatkaan lagi dengan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia yang turut menggunakan aset udara.

Lebih 400 anggota keselamatan terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat ini.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli yang mana enam daripadanya murid perempuan, melarikan diri dari asrama SK Pos Tohoi kerana takut guru mereka mengambil tindakan atas kesalahan mandi sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid berkenaan ialah Mirsudiar Alui, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7.