KUALA LUMPUR: Kumpulan sokongan waris mangsa tragedi Nepal, Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), merayu mana-mana kaunselor bertauliah yang fasih berbahasa Tamil agar tampil membantu memberikan sokongan psikologi kepada ahli keluarga mangsa yang terkesan.
Wakil MASFIH, Dr R Manivannan berkata kepakaran kaunselor berbahasa Tamil amat diperlukan ketika ini memandangkan kebanyakan waris mangsa terdiri daripada warga emas yang lebih selesa dan hanya fasih berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka.
Beliau berkata walaupun pihak Wisma Putra dan MERCY Malaysia menawarkan perkhidmatan kaunseling percuma secara proaktif, inisiatif tersebut berdepan kekangan bahasa kerana dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Manivannan berkata penggunaan penterjemah sebagai pihak ketiga dalam sesi rawatan juga dilihat kurang sesuai kerana dikhuatiri menjejaskan “sentuhan emosi” yang diperlukan keluarga ketika ini.
"Penterjemah mungkin ada tetapi (kehadiran) orang ketiga mungkin membuatkan waris berasa tidak selesa, selain maksud atau kepetahan sebenar yang digunakan kaunselor mungkin tidak sampai kepada waris.
"Oleh itu, jika ada kaunselor swasta atau kerajaan yang fasih berbahasa Tamil, kami amat mengalu-alukan untuk menghubungi kami supaya proses tapisan boleh dibuat dan diselaraskan bersama MERCY Malaysia atau Wisma Putra," katanya pada sidang media perkembangan insiden banjir kilat Nepal-Tibet di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ahli keluarga supaya memantau keadaan emosi waris terdekat bagi memastikan mereka yang berdepan trauma mendapat saringan sewajarnya.
"Mereka (waris) sendiri kena ke depan dan tampilkan diri. Jadi ahli-ahli keluarga (lain) yang perlu peka, sebab bila kita dalam trauma, setiap orang cara mereka uruskan (kesedihan) itu berbeza," katanya.
Mengulas mengenai penghantaran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dijangka berlepas ke Nepal Sabtu ini, Manivannan menyambut baik usaha tersebut bagi memastikan penyaluran maklumat yang lebih tepat dari lapangan.
"Sekurang-kurangnya apabila SMART dapat masuk ke negara itu, kita akan dapat perkembangan terkini dari lapangan melalui anggota Malaysia sendiri yang akan lebih tepat, selain (diharap) membuka laluan untuk ahli keluarga mangsa pergi ke sana kelak," katanya.
Adik perempuan Manivannan, R.Komathi, 48, adalah antara rakyat Malaysia yang dilaporkan masih hilang dalam kejadian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Manivannan menyatakan harapan MASFIH untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan waris mangsa menyampaikan sendiri rintihan serta cabaran sebenar yang dihadapi mereka susulan tragedi di Nepal.
Beliau berkata langkah itu penting bagi membolehkan suara hati keluarga mangsa didengari secara terus oleh pucuk pimpinan negara, memandangkan situasi emosi waris yang kini berada dalam keadaan semakin tertekan.
“Kami berharap dapat berjumpa Perdana Menteri secepat mungkin untuk mendapatkan maklumat terkini, selain meluahkan sendiri perasaan waris yang kini kian bimbang dan tertekan,” katanya.
-- BERNAMA