Dua wira negara yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Perdana Putra, Puchong, Selangor, pada 3 Okt tahun lepas, hari ini dianugerahkan Pingat Bakti (PB) sebagai mengenang jasa dua wira berkenaan.

Pingat disampaikan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-49 bagi kali ke-2 di Istana Balai Besar di sini.

Pingat berkenaan diterima Wan Kamilah Wan Yaacob, 54, ibu kepada Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari dan Wan Ibrahim Mat Daud, 61, yang merupakan ayah kepada Allahyarham Izatul Akma.

Wan Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, beliau berterima kasih kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, kerajaan negeri serta seluruh rakyat Malaysia yang masih mengingati pengorbanan telah dilakukan anaknya dalam tragedi tersebut.

Wan Ibrahim (kiri) dan Wan Kamilah menerima anugerah Pingat Bakti dari Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke-49 Bagi Kali Ke 2, di Istana Balai Besar hari ini. - BERNAMA
"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana masih mengingati jasa dan pengorbanan arwah kepada negara," katanya.

Beliau berkata Izatul Akma yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik, merupakan seorang anak yang taat kepada orang tua.

"Sebelum arwah masuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), beliau ada minta menyertai skuad payung terjun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun saya tak benarkan.

"Beliau akur dengan kehendak saya, dan mengambil kursus menyertai PPDA," katanya sambil menambah tidak menghalang anak-anaknya yang lain menyertai pasukan bomba pada masa hadapan.

Sementara itu kakak kepada Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik, Nur Atiqah, 29, berkata pingat berkenaan sangat besar ertinya kepada keluarga dan berterima kasih, kerana jasa adiknya itu dihargai. -- Bernama

BACA: Kronologi tragedi enam anggota bomba lemas

BACA: Mayat remaja lemas dijumpai

GALERI FOTO: #BombaHeroKami: Misi mencari bertukar tragedi