Tragedi pulang bazar Aidilfitri, dua sekeluarga maut

Shuhada Abdul Kadir
April 14, 2023 03:13 MYT
Siasatan mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah bazar Aidilfitri Masjid Tanah telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan. - Gambar ihsan PDRM
ALOR GAJAH: Hasrat seorang lelaki dan anak saudaranya keluar ke bazar Aidilfitri bagi membuat persiapan menyambut perayaan itu bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Lendu, Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sendiri selain seorang lagi saudara mangsa yang merupakan penumpang belakang dikenali Azizul Hamis @ Jainy turut mengalami kecederaan parah di kepala.
“Siasatan mendapati kereta yang dipandu oleh Muhammad Hasraf dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah bazar Aidilfitri Masjid Tanah telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu dan bapa saudaranya itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang parah ditempatkan ke Zon Merah hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#dua sekeluarga maut #tragedi aidilfitri #bazar aidilfitri #kemalangan