Skip to main content

Malaysia

Tragedi Sungai Jeram: Jenazah dua beradik lemas dikebumi satu liang

Ibu mangsa, Suria Sulong dan bapa, Nur Shahila, Azman Wahab ketika urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Jeram Manir,Kuala Terengganu pada Rabu.
Ibu mangsa, Suria Sulong dan bapa, Nur Shahila, Azman Wahab ketika urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Jeram Manir,Kuala Terengganu pada Rabu. -Foto Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram, Manir di sini apabila dua beradik yang maut dalam tragedi lemas di Sungai Jeram, petang Selasa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 3 petang pada Rabu.

​Jenazah Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalludin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, disemadikan dalam suasana hiba dengan dihadiri ahli keluarga, kenalan serta penduduk setempat.

​Terdahulu, kedua-dua jenazah dibawa dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus selepas selesai proses bedah siasat pada awal pagi tadi.

​Jenazah Nur Afiqah Shahirah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Rahman Limbong tiba di Surau Saidina Umar Pasar Jeram pada jam 10.58 pagi untuk disembahyangkan.

​Selang kira-kira 20 minit kemudian, jenazah adiknya, Nur Shahila Shahirah, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, pula tiba di pekarangan surau tersebut pada jam 11.20 pagi.

​Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, hasrat empat sekawan untuk meluangkan masa dengan mandi-manda di sungai berkenaan berakhir dengan tragedi menyayat hati.

​Dua beradik tersebut dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan rakan mereka yang dipercayai hampir lemas.

​Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa, Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, dan Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

​Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 6 petang di dasar sungai dengan kedalaman kira-kira tujuh meter.

​Kedua-dua mayat ditemui pada jarak 50 meter dari tebing sungai dalam kedudukan berhampiran antara satu sama lain. -Sinar Harian

Must Watch Video