MALAYSIA
Tragedi Sungai Korok: ‘Kami akan teruskan perniagaan roti canai arwah’ – Keluarga

Roswati (kanan) bersama Putri Qisya semasa ditemui di rumahnya di Jerlun pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JERLUN: Keluarga Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang meninggal dunia dalam tragedi di Sungai Korok bersama suami dan empat anak mereka, berhasrat untuk meneruskan perniagaan roti canai yang diusahakan pasangan itu sebelum ini.
Ringkasan AI
- Pasangan suami isteri dan empat anak terkorban dalam tragedi di Sungai Korok; keluarga berhasrat meneruskan perniagaan roti canai sebagai kenangan dan penghargaan terhadap usaha mereka.
- Gerai roti canai baru dibuka sebulan di Pendang; mereka berniaga menggunakan kereta Proton Iswara yang turut ditemui tenggelam bersama jasad mangsa.
- Anak tunggal yang terselamat, Putri Qisya, menjadi kekuatan buat neneknya, Roswati, yang bertekad memberi sokongan dan menjaga cucunya dengan penuh kasih sayang.
Sebelum ini, tular video pasangan tersebut mempromosikan gerai roti canai mereka di media sosial sehingga menyentuh hati ramai netizen apabila tragedi itu berlaku.
Roswati berkata, menantunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akan ke gerai selepas tamat syif pagi, manakala anaknya pula menguruskan anak-anak dan perniagaan.
“Mereka guna kereta Proton Iswara itu untuk berniaga. Kami tak ada kereta lain, cuma motosikal. Tapi kereta itulah yang ditemui tenggelam bersama jasad mereka,” katanya sebak.
Menurutnya, Nurul Hidayah merupakan anak sulung daripada enam beradik dan seorang yang rajin serta penyayang.
“Apa saja yang saya minta, dia akan cuba tunaikan. Dia juga selalu bantu adik-beradik kalau ada masalah. Kehilangan dia sangat terasa,” katanya.
Roswati turut berkongsi bahawa sejak anaknya mengandung bayi kembar tahun lalu, mereka sekeluarga tinggal bersamanya.
Beliau juga menjaga cucu-cucunya termasuk menghantar mereka ke sekolah setiap hari.
“Saya sempat jaga Tuah Haydar enam bulan saja. Kembarnya, Jebat Haydar, meninggal dunia Februari lalu sebab masalah kesihatan,” katanya.
Kini, cucunya yang terselamat, Putri Qisya Nur Izzat, 12, masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Alor Setar dan belum bercadang untuk berpindah sekolah.
“Putri Qisya jadi kekuatan saya sekarang. Saya tak paksa dia tinggal dengan saya. Kalau dia nak tinggal dengan ibu saudara pun tak apa.
"Yang penting, ikut hati dia. Jangan paksa diri nak jaga hati orang lain,” katanya.
Roswati berkata, dia akan terus memberi sokongan kepada cucunya itu agar dapat menerima hakikat kehilangan keluarga tersayang.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Nurul Hidayah bersama suaminya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, serta empat anak mereka, terkorban dalam tragedi di Terusan Sungai Korok, Jitra pada Isnin. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami