MALAYSIA
Tragedi Sungai Korok: "Saya tidak mampu menahan sebak ketika satu persatu mayat dikeluarkan" - Anggota PPDA

Mohammad Hasri (gambar kecil) tidak mampu menyembunyikan perasaan hiba melihat jasad enam sekeluarga dikeluarkan satu persatu dari kereta yang tenggelam di Sungai Korok, Jerlun. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: "Saya tidak dapat menahan sebak, tiba-tiba air mata membasahi pipi apabila satu persatu jasad mangsa dibawa keluar dari dalam kereta.”
Suasana pilu itu dikongsi anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohammad Hasri Haslan, 31, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan kereta terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok, Jerlun, dekat sini.
Katanya, yang lebih 10 tahun bertugas dalam pasukan bomba, ini merupakan pengalaman pertamanya mengeluarkan jasad yang begitu ramai.
“Inilah kes yang paling sayu dan tragis yang saya ikuti. Paling sedih dan tersentuh hati ketika saya dan kawan-kawan seperjuangan mengangkat jasad bayi enam bulan dan tiga kanak-kanak yang masih kecil," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat enam sekeluarga itu.Mohamad Hasri berkata, sebaik cermin belakang kereta Proton Iswara dipecahkan, dia dapat melihat mangsa dalam keadaan berpelukan di tempat duduk bahagian belakang.
Katanya, jasad pertama adalah kanak-kanak perempuan manakala yang kedua pula bayi lelaki berusia enam bulan dan yang ketiga adalah kanak-kanak lelaki.
"Jasad keempat pun kanak-kanak perempuan manakala yang kelima pula ibu mereka dan mangsa yang terakhir adalah pemandu kereta itu iaitu bapa kanak-kanak terbabit.
"Saya pun ada anak... apabila melihat keadaan itu saya rasa sayu mengenangkan nasib mereka terutama bayi ... memang sedih," cerita Mohammad Hasri lagi.
Dalam penuh kehibaan itu, Mohammad Hasri perlu meneruskan tugasnya sebagai pasukan penyelamat sambil mengenangkan nasib yang dialami keluarga.
Semalam Astro AWANI melaporkan, jasad enam sekeluarga yang hilang awal pagi Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman ditemui dalam kereta Proton Iswara di Sungai Korok.
Kesemua mereka disahkan sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32, manakala isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi 31, manakala empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan.
Kesemua jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang di Jerlun kira-kira jam 11.50 malam tadi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami