SEKURANG-kurangnya 10 pengunjung Dussehra Ground di Fasa 8 bandar Mohali, terhempas dari ketinggian sekitar 50 meter apabila permainan yang dinaiki mereka jatuh ke tanah dari menaranya, pada Ahad malam.

Dalam kejadian di Punjab, India itu, kesemua mangsa yang kebanyakannya cedera di kepala dan leher, serta dalam keadaan terkejut, dikejarkan ke dua buah hospital bagi menerima rawatan.

Kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan selamat. 

Terdahulu, mereka hadir di tapak permainan itu bagi meraikan pesta ‘London Bridge’ yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lalu tetapi dilanjutkan sehingga 11 September.

Sementara itu, penganjur pesta Sunny Singh memaklumkan, pihaknya akan menyiasat kejadian ini sebaiknya.

“Nampaknya ada masalah teknikal. Sebelum ini, kami telah menganjurkan beberapa pesta tetapi tidak pernah berlaku kejadian sebegini.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya menurut laporan Hindustan Times.