MALAYSIA

Transaksi pegawai kanan ATM: Saksi berkemungkinan dipanggil esok - Azam Baki

Faida Rahim 24/12/2025 | 09:15 MYT
Azam mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Beberapa saksi dijangka dipanggil esok bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan transaksi luar biasa melibatkan akaun seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Ringkasan AI
  • Saksi dijangka dipanggil esok oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung transaksi luar biasa pegawai kanan ATM, susulan maklumat rasuah yang perlu disahkan.
  • SPRM mengambil tindakan proaktif dengan mendapatkan dokumen perolehan daripada MINDEF bagi rekod tahun 2023 hingga 2025 untuk kajian analisis kewangan.
  • Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkenaan dengan transaksi yang melibatkan kemasukan wang ke dalam akaun seorang pegawai tinggi daripada anggota tentera.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu susulan maklumat yang diterima daripada pihak Polis Kuala Lumpur, yang turut berkongsi maklumat kerana berkemungkinan terdapat unsur rasuah yang perlu disahkan, khususnya melibatkan transaksi kewangan.

"Untuk waktu sekarang, kita dapat melihat beberapa transaksi yang melibatkan kemasukan wang ke dalam akaun seorang pegawai tinggi daripada anggota tentera berkenaan.

"Jadi, kita sedang mengkaji lagi transaksi berkenaan sebelum kita membuat tindakan yang lebih lanjut bagi memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan.

"Saya jangka beberapa saksi akan dipanggil dalam tempoh terdekat, mungkin esok untuk menjawab terlebih dahulu beberapa transaksi kewangan yang kita telah perolehi daripada pihak bank," katanya ketika dihubungi hari ini.

Transaksi Pegawai Kanan ATM, saksi mungkin dipanggil esok - Azam

Menurut beliau, pegawai SPRM telah mengambil tindakan proaktif semalam dengan pergi ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mendapatkan dokumen perolehan bagi rekod tertentu sejak tahun 2023 hingga 2025 secara rawak untuk dikaji.

Tambah beliau lagi, analisis kewangan telah dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga hari, bergantung kepada dokumen mahkamah untuk melengkapkan siasatan.

Azam turut mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.






#Azam Baki #Angkatan Tentera Malaysia #SPRM #Rasuah #terkini #pegawai kanan tentera #ATM