Skip to main content

Malaysia

Transformasi digital institusi pendidikan Islam fokus pemerkasaan kemahiran – PM Anwar

BUKIT MERTAJAM, 7 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447H hari ini.  -- fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447H hari ini. - Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan akan memulakan program latihan bagi memberikan pendedahan awal teknologi maklumat dan digital di semua sekolah agama termasuk institusi pondok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan perbincangan dengan guru serta syeikh institusi pondok yang bersetuju agar elemen kemahiran moden diperkenalkan sebagai tambahan kepada sistem pembelajaran sedia ada.

Advertisement

Anwar berkata usaha berkenaan tidak bertujuan mengubah manhaj tarbiah atau kurikulum tradisional yang diamalkan di institusi berkenaan, sebaliknya hanya menambah komponen kemahiran baharu yang  penting dalam dunia masa kini.

"Kita melakukan perubahan dengan memberikan bantuan besar-besaran untuk memperkukuh dan memperkasakan sistem pendidikan termasuk sistem pendidikan pondok, kemudian saya beritahu dalam perbincangan dengan tuan-tuan guru yang kita bawa ke Kuala Lumpur, saya kata tuan guru nak ajar, ajarlah apa jua subjek yang biasa, saya tidak mahu campur.

"Tetapi, saya cadangkan tambahan, umpamanya guru bahasa Melayu, guru Sejarah, kemudian juga IT (teknologi maklumat) kerana semua orang bicara soal IT. Kita ada 300,000 hingga 400,000 anak-anak di sekolah agama, sekolah Arab (yang tidak boleh) ketinggalan,” kata beliau semasa berucap merasmikan Masjid Mengkuang Titi, Permatang Pauh dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1417H, di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, program dimulakan dengan tadarus al-Quran 30 juz serta Majlis Khatam al-Quran yang disertai kira-kira 300 belia menerusi pelaksanaan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Belia dan Sukan.

Program itu bertujuan memperkukuh penglibatan belia dalam mengimarahkan institusi masjid sepanjang Ramadan melalui aktiviti kerohanian, keilmuan dan kesukarelawanan seperti tadarus al-Quran, kuliah Ramadan, iftar komuniti serta program kebajikan.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan JAKIM.

Inisiatif itu bertujuan memperkasakan institusi pendidikan Islam di negara ini melalui pembangunan kemahiran digital dan pendedahan kepada teknologi masa hadapan, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video