KUALA LUMPUR: Memenangi kepercayaan pekerja dan mempunyai hala tuju untuk mereka ialah langkah pertama ke arah transformasi organisasi, kata bekas Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Dr Mohd Khalis Abdul Rahim.
Berdasarkan pengalaman beliau dalam transformasi organisasi, Mohd Khalis berkata banyak inisiatif perubahan gagal kerana organisasi lebih memberikan tumpuan kepada penstrukturan, proses kerja dan metrik prestasi sebelum membina semula hubungan emosi pekerja dengan tempat kerja mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata organisasi perlu terlebih dahulu memulihkan rasa bermakna, tujuan dan kebanggaan dalam diri pekerja, terutamanya apabila sumber kewangan terhad dan insentif berbentuk wang ringgit bukanlah satu pilihan.
"Anda cuba memotivasikan sesebuah organisasi untuk bangkit daripada kelesuan dan menjadi organisasi yang berprestasi tinggi dalam tempoh singkat tanpa mempunyai wang untuk memberikan insentif kepada pekerja. Jadi, apa yang anda boleh berikan kepada mereka? Anda boleh memberikan keprihatinan dan rasa bangga. Beritahu mereka bahawa kita berjuang bersama-sama, kita berjaya atau gagal bersama-sama.
"Kembalikan kepada mereka (pekerja) rasa bermakna, tujuan hidup dan kebanggaan … selagi ketiga-tiga perkara itu tiada, mereka tidak akan mempercayainya. Sesebuah (organisasi) tidak akan bergerak," katanya semasa sesi Closing Wisdom Exchange pada 2nd Wisdom Malaysia Conference 2026 di sini, pada Khamis.
Mohd Khalis berkata hanya selepas berjaya memenangi hati dan jiwa pekerja, barulah organisasi berkaitan boleh melaksanakan pelan transformasi dan strategi pemulihan perniagaan.
Selain itu, beliau berkata kepimpinan yang berkesan juga memerlukan pengurus berkomunikasi secara konsisten dengan pekerja dan tidak hanya menunggu sesi penilaian prestasi rasmi.
Beliau berkata pemimpin transformasi tidak seharusnya bergantung sepenuhnya pada kerangka kerja yang dibangunkan oleh perunding, sebaliknya memahami kenyataan yang dihadapi oleh pekerja di lapangan melalui penglibatan secara langsung.
Persidangan yang dianjurkan oleh Kerjaya One PLT itu menjadi platform kepada pemimpin industri semasa dan terdahulu untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan dengan para pemimpin, pemimpin baharu dan golongan profesional.
Persidangan berkenaan menampilkan sesi pembelajaran tentang kepimpinan, kemahiran membuat pertimbangan dan kajian kes transformasi, selain sesi soal jawab dan membina jaringan untuk membolehkan peserta memperoleh pandangan praktikal daripada penceramah.
-- BERNAMA