MALAYSIA
Transformasi perkhidmatan awam pacu ekonomi masa depan Sarawak - Abang Johari
Abang Johari berkata peranan kerajaan dan agensinya kini berubah daripada sekadar pencipta peluang pekerjaan kepada pemudah cara aktiviti ekonomi yang digerakkan sektor swasta serta GLC. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa penjawat awam negeri melakukan transformasi struktur dan pemikiran bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan serta berkesan dalam memacu fasa baharu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata peranan kerajaan dan agensinya kini berubah daripada sekadar pencipta peluang pekerjaan kepada pemudah cara aktiviti ekonomi yang digerakkan sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Perkhidmatan awam mesti bersedia menyesuaikan pendekatan dan struktur keseluruhannya untuk menjadi rakan strategik kepada sektor swasta.
"Enjin ekonomi perlu digerakkan oleh sektor swasta dan agensi kerajaan yang beroperasi seperti sektor swasta. Dengan cara itu, kita boleh kekal berdaya saing dan pada masa sama memberi pulangan kepada kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata GLC dan agensi kerajaan perlu beroperasi dengan kecekapan seperti sektor swasta, menumpukan kepada produktiviti, pulangan pelaburan serta daya saing bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dapat dikekalkan.
Abang Johari turut menegaskan disiplin fiskal dan tadbir urus yang mantap amat penting bagi menjamin keutuhan kewangan negeri, sambil menyatakan bahawa penubuhan dana kekayaan berdaulat Sarawak bertujuan melindungi kepentingan generasi akan datang serta mengelak kebergantungan terhadap hutang.
"Kerajaan juga perlu menyesuaikan cara berbelanja. Perbelanjaan dan hasil mesti seimbang; jika tidak, kita akan berhutang.
"Jika kerajaan terus menerbitkan bon, itu bermakna kita berhutang. Jadi kerajaan perlu berhati-hati supaya tidak menambah hutang," katanya sambil menambah Sarawak kekal mencatat kedudukan fiskal kukuh dan lebihan hasil.
Dalam konteks ekonomi global, Premier menegaskan peralihan tenaga dunia serta cabaran perubahan iklim membuka peluang baharu untuk Sarawak menerajui bidang tenaga boleh diperbaharui, khususnya pengeluaran hidrogen hijau.
"Hidrogen akan menjadi sumber tenaga utama masa depan, menggantikan bahan api fosil. Apabila itu berlaku, pasaran akan dikuasai oleh hidrogen dan mereka yang memiliki sumber ini akan menjadi pemain utama.
"Sarawak memiliki sumber air dan sungai yang melimpah untuk menjana tenaga bersih. Menjelang 2035, Sarawak berpotensi menjadi 'Arab Saudi baharu' dalam pengeluaran hidrogen bersih," katanya.
Abang Johari turut menyeru penjawat awam, pemimpin korporat dan pembuat dasar bekerjasama membentuk kerangka tadbir urus yang berdaya tahan masa depan, berasaskan data serta berteraskan inovasi.
-- BERNAMA