Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Transformasi perkhidmatan bas henti-henti di Kota Kinabalu bakal bermula

Bernama 27/08/2025 | 11:13 MYT
Terminal KK Sentral akan dijadikan sebagai hab utama yang menghubungkan kawasan penting termasuk UMS-Lintas, Manggatal, Penampang dan Kepayan-Lintas. - fotoBERNAMA
LABUAN: Kota Kinabalu bakal melangkah ke era baharu mobiliti bandar menerusi pelancaran program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) yang disifatkan sebagai inisiatif pengangkutan awam terpenting bagi bandar raya itu.

Bekas Presiden Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT) Malaysia Datuk Ramli Amir berkata dengan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan peruntukan tahunan sebanyak RM17.6 juta bagi fasa pertama, program itu bertujuan merevolusikan cara penduduk bergerak di sekitar bandar berkenaan.

Beliau berkata SBST menangani keperluan mendesak dengan 97 peratus penduduk Kota Kinabalu kini bergantung kepada kenderaan persendirian, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang kronik di laluan utama seperti Jalan Tun Fuad Stephens dan Jalan Coastal.

"Situasi di Kota Kinabalu boleh diibaratkan sebagai 'kematian pengangkutan awam', kesan daripada pengabaian dasar selama bertahun-tahun, perkhidmatan yang berpecah-pecah, serta liputan yang tidak menyeluruh yang menjejaskan golongan warga emas dan kumpulan rentan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata SBST yang dijadual mula dilaksanakan tahun depan, memperkenalkan sistem berfokuskan penumpang di bawah jenama baharu BAS.MY, menggantikan operasi komersial berasaskan tambang dengan model kos kasar yang menyaksikan kerajaan membayar pengendali secara langsung berdasarkan prestasi perkhidmatan.

Ramli berkata fasa satu merangkumi lapan laluan di bawah jenama Jesselton Link, dengan KK Sentral sebagai hab utama yang menghubungkan kawasan penting termasuk UMS-Lintas, Manggatal, Penampang dan Kepayan-Lintas.

Beliau berkata penambahbaikan teknologi termasuk penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bagi pemantauan masa nyata, tiket elektronik, bas berhawa dingin serta dilengkapi ciri kebolehcapaian.

"Penambahbaikan ini memastikan bas beroperasi pada selang masa antara 30 hingga 60 minit, dengan insentif berasaskan prestasi untuk pengendali," katanya.

"Kerjasama merupakan teras kepada reka bentuk program, melibatkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pengendali swasta dan wakil komuniti yang bekerjasama rapat untuk memastikan sistem ini memenuhi keperluan sebenar pengguna," katanya.

Dari segi ekonomi, SBST dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk pemandu, juruteknik dan kakitangan perkhidmatan pelanggan, selain menyokong industri tempatan dalam penyelenggaraan, teknologi dan infrastruktur.

"Dari aspek sosial, sistem ini meningkatkan keterhubungan untuk kawasan pinggir bandar yang sebelum ini kurang diliputi, mengurangkan kos pengangkutan dan mempromosi keterangkuman menerusi konsesi tambang kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya, sementara manfaat alam sekitar termasuk pengurangan pelepasan karbon dan kualiti udara yang lebih baik," katanya.

Fasa satu ini merupakan langkah awal dalam pelan pelaburan lima tahun bernilai RM88 juta meliputi lapan laluan dan 48 buah bas, dengan potensi pengembangan pada masa depan untuk meliputi lebih banyak kawasan, meningkatkan kekerapan dan mempertingkatkan teknologi.

-- BERNAMA



#Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti #Ramli Amir #Dewan Bandaraya Kota Kinabalu #BAS MY