NATIONAL
Treler bawa tong gas rempuh penghadang jambatan kereta api
Sebuah treler membawa muatan 950 tong gas memasak merempuh penghadang besi jambatan landasan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra, di Kuala Krai, pada Ahad. -Foto Ihsan PDRM
KUALA KRAI: Sebuah treler membawa muatan 950 tong gas memasak merempuh penghadang besi jambatan landasan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, pada Ahad.
Ringkasan AI
- Sebuah treler membawa 950 tong gas memasak merempuh penghadang besi jambatan landasan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai.
- Akibat pelanggaran, beberapa tong gas jatuh ke jalan raya, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
- Pemandu treler dikenakan saman dan boleh dikenakan denda atau penjara jika disabitkan kesalahan.
Kejadian berlaku pada jam 3.21 petang ketika kenderaan berat terbabit yang membawa tong-tong gas kosong melalui laluan yang hanya membenarkan had ketinggian 4.1 meter.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, treler berketinggian 4.3 meter itu dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu ke Seremban, Negeri Sembilan dan menghala ke pusat bandar sebelum melanggar struktur besi penghadang jambatan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, beberapa tong gas jatuh ke jalan raya dan satunya melantun ke arah sebuah kereta dari laluan bertentangan.
“Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.
Beliau berkata, pemandu treler telah dikenakan saman mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan.
“Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar mengambil tindakan segera yang wajar terhadap penghadang berkenaan.
Katanya, kejadian ini merupakan insiden kedua membabitkan pelanggaran penghadang di lokasi sama. -Sinar Harian