IPOH: Sebuah treler dengan muatan papan siling terbakar 90 peratus selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer (km) 266 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, pemandu treler yang berusia 36 tahun itu selamat dan mengalami kecederaan.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.05 malam semalam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan berpunca daripada treler yang terbabas lalu melanggar pembahagi jalan serta tiang lampu di situ sebelum terbakar.

“Kemalangan itu mengakibatkan sebatang tiang lampu telah tumbang dan merintangi jalan di arah bertentangan.

“Akibat daripada itu, dua kenderaan tidak sempat mengelak dan melanggar tiang lampu yang telah merintangi jalan itu. Walau bagaimanapun, kesemua mangsa di dalam kenderaan itu selamat.

“Manakala mangsa pemandu treler telah mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.



Tambahnya, operasi menyelamat mangsa dan pemadaman api turut dibantu pasukan daripada BBP Kuala Kangsar dan BBP Ipoh.

“Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula daripada jentera BBP Meru Raya dan bantuan dari jentera Fire Rescue Tender (FRT) Kuala Kangsar dan FRT Ipoh.

“Manakala jentera berat iaitu pengorek kaut digunakan bagi memudahkan operasi pemadaman dilakukan oleh anggota bomba,” katanya lagi.

Ujarnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Kosaidi Mohd Saad itu tamat pada pukul 2.51 petang Khamis.

Sementara itu, PLUSTrafik menerusi laman Twitter malam tadi memaklumkan, kejadian itu telah mengakibatkan semua lorong arah selatan serta lorong kanan dan tengah bagi arah utara terhalang.

Pada pukul 3.23 petang Khamis, PLUSTrafik memaklumkan, insiden berkenaan selesai, namun, trafik masih sesak sejauh 13 km.