MALAYSIA

Tren komuter tersasar, terlajak ke hujung landasan di Stesen Butterwoth

Ernalisa Othman 08/11/2025 | 06:45 MYT
KTMB berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
KUALA LUMPUR: Sebuah tren Komuter enam gerabak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan tersasar ke hujung landasan di Platform 4 Stesen Butterworth awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Tren Komuter enam gerabak KTMB tersasar ke hujung landasan di Platform 4 Stesen Butterworth, tanpa membawa penumpang, pada jam 6.01 pagi.
  • Pasukan teknikal KTMB segera bertindak ke lokasi untuk pemeriksaan dan pengalihan tren terbabit demi keselamatan operasi.
  • Stesen Butterworth memaklumkan semua tren penumpang beroperasi seperti biasa di Platform 1, 2 dan 3, sementara Platform 4 ditutup sementara untuk kerja pemeriksaan.


KTMB dalam kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira jam 6.01 pagi itu melibatkan tren set SCS03 yang sedang menjalani pergerakan operasi harian tanpa membawa penumpang.

Menurut kenyataan itu, pasukan teknikal KTMB bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai insiden bagi menjalankan pemeriksaan serta kerja pengalihan tren terbabit.

“Langkah keselamatan segera dilaksanakan bagi memastikan persekitaran stesen kekal selamat dan operasi tren lain tidak terganggu,” kata kenyataan itu.

KTMB menegaskan semua tren penumpang di Stesen Butterworth beroperasi seperti biasa menggunakan Platform 1, 2 dan 3, manakala Platform 4 ditutup sementara bagi kerja pemeriksaan dan baik pulih.

Penumpang di stesen berkenaan turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan yang diberikan oleh kakitangan KTMB sepanjang tempoh kerja dijalankan.

KTMB menambah, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"KTM ingin memberi jaminan bajawa keselamatan operasi dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan kami dan segala langkah sedang diambil bagi memastikan perkhidmatan tren terus berjalan lancar seperti biasa," jelas kenyataan itu.




#Tren komuter terlajak #Tiada kemalangan #persekitaran stesen kekal selamat