MALAYSIA
Tren pertama RTS Link hubungkan Johor Bahru dan Singapura diperkenal

Loke hadir pada majlis Pelancaran Rasmi Keretapi RTS LINK 01 di Singapore Rail Test Centre, di sini pada Isnin. - Foto Kementerian Pengangkutan
SINGAPURA: Tren pertama bagi Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dipertontonkan dalam sesi pratonton rasmi di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), pada Isnin.
Ringkasan AI
- Tren pertama RTS Link Johor BahruSingapura telah dipertontonkan, dengan operasi dijadual bermula 1 Januari 2027 dan masa perjalanan lima minit antara stesen Bukit Chagar dan Woodlands North.
- Projek ini dianggap simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura, bukan sekadar infrastruktur, tetapi mencerminkan kepercayaan, visi bersama dan semangat kemajuan serantau.
- RTS Link sepanjang 4 km dengan kemudahan CIQ bersepadu dijangka kurangkan kesesakan di Tambak Johor, dibangunkan oleh MRT Corp dan akan dikendalikan bersama Prasarana Malaysia dan SMRT Singapura.
Loke ketika berucap menyifatkan RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura itu bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya simbol kerjasama dua negara yang berkongsi visi dan semangat kemajuan bersama.
“Hari ini bukan sekadar tentang pendedahan sebuah tren baharu tetapi tentang apa yang dilambangkan oleh tren itu. Ia tentang dua negara yang sekali lagi berganding bahu untuk membina sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri.
“Ini bukan projek infrastruktur biasa. Ia mewakili pengukuhan hubungan persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati antara Malaysia dan Singapura.
“Dalam dunia yang semakin mengasingkan diri dan meminggirkan perdagangan terbuka, kita membuktikan bahawa kerjasama boleh membawa kejayaan,” katanya pada majlis Pelancaran Rasmi Keretapi RTS LINK 01 di Singapore Rail Test Centre (SRTC), di sini pada Isnin.
Projek ini juga menampilkan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang disatukan di stesen permulaan untuk kelancaran pergerakan penumpang.
RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.
MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan untuk operasi itu dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Apabila siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami