IPOH: Kejadian keracunan makanan di Perak merekodkan trend peningkatan dengan 37 kes keracunan makanan pada tahun lepas, berbanding hanya 19 kes keracunan makanan bagi tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Sirajuddin Hashim berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini pula, sebanyak enam kes keracunan makanan dicatatkan.

Beliau berkata bagaimanapun kejadian keracunan makanan di negeri itu masih lagi berada dalam keadaan terkawal dan tidak terlalu membimbangkan.

"Kemungkinan semasa tempoh pandemik COVID-19 tidak ramai peniaga menjalankan perniagaan, jadi kes keracunan makanan berkurangan, namun apabila COVID-19 semakin pulih, ramai peniaga mula berniaga, kes agak meningkat.

"Oleh itu, Ops Payung akan dilaksanakan di seluruh negeri bagi memantau dan mendidik pengusaha makanan, untuk sentiasa prihatin terhadap keselamatan makanan seterusnya membendung kejadian keracunan makanan daripada berleluasa," katanya ketika ditemui pemberita pada Ops Payung di sekitar Taman Perpaduan di Tambun di sini hari ini.

-- BERNAMA