Trend pendermaan darah mencatatkan peningkatan yang baik sejak akhir-akhir ini dan membantu memastikan stok simpanan dan bekalannya sentiasa mencukupi, kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin.

Beliau berkata peningkatan trend positif itu disebabkan penderma-penderma darah prihatin yang tampil secara konsisten bagi membantu pesakit yang memerlukan.

"Trend peningkatan pendermaan darah ini akan memastikan PDN dan tabung-tabung darah mempunyai stok simpanan darah yang mencukupi bagi kegunaan pesakit serta membantu bekalan darah di negeri yang mengalami peningkatan kes COVID-19.

Bekalan darah yang selamat dan mencukupi digunakan untuk merawat kes-kes kemalangan dan pendarahan, ibu-ibu yang mengalami komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit talasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang, pesakit yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks dan lain-lain lagi," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi PDN hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab hantaran yang tular di aplikasi WhatsApp berkenaan bekalan darah hospital yang didakwa berkurangan dan makin kritikal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Noryati berkata terdapat juga pesakit COVID-19 terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan garis panduan pencegahan dan kawalan semasa aktiviti pendermaan darah bagi mengekang penularan jangkitan penyakit berjangkit COVID-19.

Beliau berkata garis panduan itu mengandungi pelbagai langkah keselamatan selepas aktiviti pendermaan darah bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah, petugas kesihatan dan pesakit yang menerima transfusi darah.

"Garis panduan ini juga menetapkan tempoh penangguhan sementara bagi aktiviti pendermaan darah untuk individu selepas pengambilan vaksin COVID-19 dan ianya selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah," katanya.

-- BERNAMA