KUALA LUMPUR: Kementerian Digital memaklumkan trend serangan siber di negara ini telah meningkat antara 2016 hingga 2022.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata trend itu seperti Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDOS), Pencerobohan, Jangkitan Perisian Hasad, Penghosan Perisian Hasad dan 'Advanced Persistent Threat' (APT).

Menurutnya, sebanyak 7,192 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 2022, berbanding 5,575 pada 2021 dan 4,194 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, terdapat perkembangan positif direkodkan pada 2023 apabila hanya 3,232 kes dilaporkan kepada NACSA.

"Penurunan ini mencerminkan keberkesanan langkah proaktif dilaksanakan bagi melindungi ruang siber kita.

"Justeru, langkah proaktif dilaksanakan perlu diperluas secara terselaras bagi memastikan tempoh pengesanan dan tindak balas terhadap insiden keselamatan siber dapat disingkatkan melalui proses sistematik, penggunaan teknologi bersesuaian dan modal insan berkepakaran tinggi," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, serangan siber yang semakin berleluasa pada masa kini bukan sahaja mampu melumpuhkan perkhidmatan sesebuah organisasi dan menggugat ekonomi negara, malah turut mengancam keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya langkah pencegahan yang sewajarnya tidak dilaksanakan.

Bagi memperkukuhkan keselamatan siber negara, Ahli Parlimen Damansara itu menambah kerajaan telah memutuskan supaya mekanisme dan sistem pengurusan keselamatan siber negara perlu diberi anjakan paradigma atau ditransformasikan.

Ujar beliau lagi, penggubalan RUU Keselamatan Siber 2024 memberi tumpuan kepada perlindungan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara.

"Melalui RUU Keselamatan Siber 2024 ini, aspek keselamatan siber bagi infrastruktur maklumat kritikal negara akan dapat dipertingkatkan melalui rangka kerja yang telah diwujudkan," katanya.