PASIR MAS: Menjelang Syawal selain permintaan terhadap pakaian baharu, biskut raya, menukar batu nisan dan belindan di tanah perkuburan juga menjadi trend terkini orang ramai.

Ia bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai 'hadiah terakhir' kepada si mati selain menjadikannya sebagai penanda bagi memudahkan kubur tersebut diziarahi oleh ahli keluarga.

Perkara ini diakui sendiri oleh pengusaha batu nisan dan belindan, Tajuddin Abdullah, 57, dari Kampung Atas Pinggir di sini memberitahu beliau menerima tempahan penuh bermula sebelum Ramadan sehingga Aidiladha nanti.

"Kebanyakan perantau menempah sebelum puasa lagi. Ini kerana apabila pulang ke kampung halaman mereka ingin menziarahi kubur ahli keluarga yang telah siap dilengkapi batu nisan serta belindan baharu.

"Ramai berbuat demikian sebagai 'hadiah' kepada kubur insan tersayang," katanya kepada Sinar Harian.

Tajuddin (kiri) dibantu anaknya, Ahmad Shukri mengusahakan perniagaan batu nisan dan belindan di Kampung Atas Pinggir, Pasir Mas. - Foto Sinar Harian

Menurut beliau yang sudah hampir 40 tahun berkecimpung dalam perniagaan tersebut, antara alasan lain mereka berbuat demikian juga adalah bagi menggantikan batu nisan serta belindan yang uzur.

Ujarnya yang turut dibantu oleh anak sulung, Ahmad Shukri, 31, kebanyakan tanah perkuburan di negeri ini banyak yang ditenggelami banjir sehingga merosakkan struktur kubur dan lain-lain.

Tajuddin memberitahu, disebabkan itu ahli keluarga mengambil langkah dengan menukarnya kepada yang baharu bagi memastikan pusara ahli keluarga kekal elok.

"Pelanggan biasanya memilih jenis yang moden serta ringkas. Mereka juga tidak berkira dengan harga yang ditetapkan iaitu sekitar RM670 hingga mencecah RM5,000 bagi satu set batu nisan dan belindan termasuk dengan kos pemasangan.

Tajuddin menunjukkan antara belindan yang terdapat di kedainya. - Foto Sinar Harian

"Antara yang menjadi pilihan ramai bagi batu nisan ialah, batu bukit atau sungai kerana ia dikenali sebagai batu hidup. Manakala untuk belindan pula jenis terazo, granite adalah yang paling laris dijual," katanya.

Beliau menambah untuk sambutan Syawal kali ini, setiap hari sepanjang Ramadan pekerja-pekerjanya perlu membuat pemasangan dan tempahan diterima dari seluruh Kelantan termasuk Besut, Terengganu.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, kesemua tempahan tersebut perlu disiapkan sebelum Syawal dan selebihnya akan disambung selepas itu sehingga sambutan Aidiladha nanti. - Sinar Harian

Harga yang ditetapkan bagi satu set batu nisan dan belindan termasuk dengan kos pemasanganialah sekitar RM670 hingga mencecah RM5,000. - Foto Sinar Harian