MALAYSIA

Trump umum EU, Mexico bakal dikenakan tarif 30 peratus mulai 1 Ogos

Agensi 12/07/2025 | 23:10 MYT
Presiden Trump mengumumkan bahawa Kesatuan Eropah dan Mexico akan dikenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan import ke Amerika Syarikat bermula 1 Ogos ini. - Gambar AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico akan dikenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan import ke Amerika Syarikat bermula 1 Ogos ini.

Trump turut memberi amaran kadar tarif akan dinaikkan lebih tinggi sekiranya mana-mana rakan dagang itu mengambil langkah balas terhadap tindakan tersebut.

EU yang merupakan rakan dagang terbesar AS sebelum ini menyatakan harapan agar satu perjanjian dapat dicapai bersama Washington sebelum tarikh akhir 1 Ogos.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut memaklumkan, AS akan mengenakan tarif baharu ke atas barangan dari Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Brazil - juga bermula pada 1 Ogos.

Surat pemberitahuan serupa turut dihantar kepada beberapa rakan dagang kecil lain.

Dalam surat kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Jumaat, Trump menulis:
"Kami telah bertahun-tahun berbincang mengenai hubungan dagangan dengan EU dan kini kami memutuskan untuk mengakhiri defisit perdagangan besar dan berpanjangan ini yang berpunca daripada dasar tarif, bukan tarif dan halangan perdagangan pihak anda."

"Hubungan ini malangnya jauh dari prinsip timbal balik," tambahnya lagi.

Trump sebelum ini beberapa kali mengkritik EU berhubung isu perdagangan. Pada 2 April, beliau mencadangkan tarif 20 peratus terhadap barangan dari blok itu, selain mengugut untuk menaikkan lagi kepada 50 peratus sekiranya rundingan gagal.

AS dan EU sebelum ini berusaha mencapai kesepakatan sebelum tarikh akhir 9 Julai, namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi mengenai sebarang kemajuan rundingan.

Menurut Pejabat Wakil Perdagangan AS, defisit perdagangan negara itu dengan EU pada tahun 2024 mencecah AS$235.6 bilion (202 bilion euro).

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam kenyataannya berkata, EU masih bersedia untuk terus berunding hingga 1 Ogos, sambil menambah bahawa EU merupakan antara ekonomi paling terbuka dan komited kepada amalan perdagangan yang adil.

"Kami akan mengambil segala langkah perlu untuk melindungi kepentingan EU, termasuk melaksanakan tindak balas setimpal sekiranya perlu," tegasnya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula menyatakan bantahan tegas terhadap langkah Trump dan menyarankan agar EU mempercepatkan penyediaan langkah balas yang kredibel sekiranya rundingan gagal.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni pula menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian yang adil dapat dicapai, sambil menyifatkan sebarang perang dagang antara dua pihak di Atlantik sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof menyeru agar EU kekal bersatu dan tegas dalam usaha mencapai perjanjian yang saling menguntungkan bersama AS.

Persatuan Industri Automotif Jerman pula memberi amaran tentang potensi peningkatan kos kepada pengeluar dan pembekal automotif Jerman, sambil menyifatkan kemungkinan konflik perdagangan yang semakin meruncing sebagai sesuatu yang amat dikesali.

Dalam surat kepada Presiden Mexico, Trump menyatakan, negara itu tidak melakukan cukup usaha untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah di rantau Amerika Utara.

"Mexico telah membantu saya mengawal sempadan, TETAPI, usaha itu masih belum mencukupi," katanya.

Trump juga memberi amaran bahawa sekiranya Mexico atau EU bertindak balas dengan mengenakan tarif ke atas barangan AS, beliau akan menaikkan tarif import lebih tinggi daripada 30 peratus yang diumumkan.

Mexico dalam reaksi segera pada Sabtu menyifatkan langkah itu sebagai "tidak adil."

Surat Trump bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tarif baharu itu akan turut dikenakan ke atas barangan Mexico yang diperdagangkan di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) 2020 – berbeza dengan Kanada yang dikatakan akan dikecualikan.

Awal minggu ini, White House turut mengutus surat kepada Kanada dengan ancaman tarif sebanyak 35 peratus.

Setakat Sabtu, pentadbiran Trump telah mencadangkan syarat tarif baharu ke atas 24 negara dan EU.

Pada 12 April lalu, penasihat perdagangan White House, Peter Navarro menyasarkan untuk memeterai "90 perjanjian dalam 90 hari."

Setakat ini, Trump telah mengumumkan garis besar dua perjanjian bersama United Kingdom dan Vietnam, yang masih dalam proses rundingan. - Agensi



#tarif Trump #tarif Kesatuan Eropah #tarif Mexico #Donald Trump #rakan dagang AS