GADGETS

TSMC pecat kakitangan yang mengakses teknologi 2nm tanpa kebenaran

Amanz 06/08/2025 | 03:20 MYT
Pada Selasa, TSMC dilaporkan memecat beberapa kakitangan yang dipercayai cuba mengakses teknologi 2nm syarikat tanpa kebenaran. - Foto Amanz
KEMAMPUAN menghasilkan cip menggunakan teknologi 2nm hanya mampu dilakukan TSMC, Samsung, Intel dan Rapidus sahaja ketika ini.

Teknologi fabrikasi ini adalah yang terkini dan oleh itu dirahsiakan supaya tidak boleh ditiru pesaing.

Semalam TSMC dilaporkan memecat beberapa kakitangan yang dipercayai cuba mengakses teknologi 2nm syarikat tanpa kebenaran.

Aktiviti mengakses maklumat rahsia ini dikesan oleh TSMC ketika melakukan siasatan dalaman.

Enam orang kini telah ditahan Pejabat Pendakwa Raya Taiwan termasuk tiga jurutera TSMC selepas fail rahsia ditemukan dalam serbuan ke atas tempat kediaman.

Taiwan mempunyai rang undang-undang yang menetapkan teknologi penghasilan cip 14nm diiktiraf sebagai rahsia penting negara.

Sebarang usaha untuk mencurinya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pihak pendakwaraya kini dalam proses mengenal pasti sama ada rahsia penghasilan cip 2nm ini telah diberikan kepada pesaing TSMC.

Antara yang sedang disiasat ialah Tokyo Electron, syarikat yang membekalkan mesin fabrikasi cip berpangkalan di Jepun.

Teknologi 2nm TSMC dipercayai akan digunakan buat pertama kali pada cip Apple A19 untuk siri iPhone 17.

Pesaing mereka Samsung pula menggunakan teknologi 2nm GAA mereka pada cip Exynos 2600 sementara Intel akan melangkau terus ke teknologi 18A mereka untuk melangkah ke hadapan pesaing.

Sumber: Economic Daily News






#teknologi 2nm #CIP #TSMC #teknologi fabrikasi