AYER KEROH: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar siasatan dan tindakan pembersihan tatakelola diperluas ke atas institusi lain termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebaik urusan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) diselesaikan.
Perkara itu didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda sendiri berkenan menghubungi beliau menerusi telefon selepas subuh hari ini, susulan ucapan dasar yang disampaikan pada kongres parti.
Menurut Anwar, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan memperkukuh tatakelola serta tidak berkompromi terhadap sebarang ketirisan dana institusi milik rakyat.
"Pagi tadi lepas Subuh, Tuanku Agong telefon saya. Baginda dengar ucapan saya semalam yang menyentuh titah Tuanku supaya disiasat Tabung Haji dan Felda.
"Baginda sebut kepada saya, selesai Tabung Haji, sambung Felda dan sambung semua agensi-agensi yang ada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Presiden pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai ketelusan agensi awam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan (SOE) kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Jelas beliau, kerangka perundangan baharu itu diwujudkan bagi memastikan kesemua agensi dan badan berkanun, termasuk agensi bumiputera, mematuhi garis panduan tadbir urus pelaburan yang ketat dan tidak sewenang-wenangnya bertindak secara bebas.
"Jangan ingat agensi bumiputera atau Tabung Haji itu bebas. Semua kena ikut kaedah dan peraturan tatakelola yang betul. Begitu juga Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang akan kita pinda mengikut keperluan semasa berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
"Cara kita menangani masalah adalah dengan mengambil tindakan pembaharuan yang jelas, bukan sekadar berdebat tanpa kesudahan," tegas beliau lagi.