SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir memutuskan untuk tidak berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi memberikan tumpuan kepada urusan negeri.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan baginda memberikan perhatian kepada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.
"Ke Bawah Duli Tuanku telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizi turut menjelaskan bahawa keberangkatan ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan sebarang jemputan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Menurutnya, penjelasan itu dibuat susulan laporan media pada Isnin yang menyatakan Tuanku Muhriz telah menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
Dalam pada itu, Azizi memaklumkan bahawa baginda juga tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Pengerusi Mesyuarat bagi menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting).
Beliau turut menegaskan bahawa pihak Istana Negeri Sembilan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara itu sebelum ini.
Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 dijadual berlangsung selama dua hari bermula Rabu, 14 Oktober hingga Khamis, 15 Oktober ini, di Istana Negara, Kuala Lumpur.