MALAYSIA

Tubuh Jawatankuasa Pengawasan untuk pantau ‘direct nego’ - Presiden MIG

Seth Akmal 27/01/2026 | 11:17 MYT
Akhbar Satar berkata ahli Jawatankuasa Pengawasan seharusnya terdiri daripada individu dan masyarakat yang mempunyai integriti dan dihormati. - Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengawasan atau Oversight Committee harus ditubuhkan untuk mengawasi kontrak rundingan terus.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Pengawasan perlu dibentuk untuk mengawasi kontrak rundingan terus demi mencegah rasuah dan ketirisan.
  • Ahli jawatankuasa sepatutnya individu yang berintegriti dan dihormati dari pelbagai lapisan masyarakat.
  • Kehilangan Malaysia akibat korupsi, rasuah, dan aliran dana haram adalah serius, dengan jumlah antara RM40 hingga RM60 bilion setahun dana yang sepatutnya untuk pembangunan awam seperti sekolah dan hospital.


Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG), Datuk Seri Akhbar Satar berkata ahli jawatankuasa tersebut seharusnya terdiri daripada individu dan masyarakat yang mempunyai integriti dan dihormati.

“Setiap kontrak boleh rujuk kepada pengkhususan (ahli) dan hanya diluluskan oleh Oversight Committee,” Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama Astro AWANI di segmen Pantau Agenda Reformasi hari ini.

Akhbar berkata masalah rasuah dan ketirisan melibatkan kontrak rundingan terus masih kritikal.

Laporan Integriti Kewangan Global (GFI) menyatakan Malaysia mengalami kerugian antara RM40 hingga RM60 bilion setahun akibat korupsi, rasuah dan aliran kewangan haram.

“Dengan RM1 bilion kita boleh buat 200 buah sekolah rendah, lima hospital besar dan jalan raya di luar bandar lebih kurang 6,000 kilometer (KM),” katanya.

Tegasnya, setiap urusan rundingan terus perlu dijalankan secara terbuka, tetapi pemantauan tetap diperlukan kerana ia tidak menjamin ketelusan sepenuhnya.

Kadangkala masalah berlaku melibatkan jawatankuasa teknikal, kewangan atau ahli lembaga yang tidak berintegriti, ujarnya.

“Keuntungan direct nego yang kontraktor dapat selalunya 50 peratus, mereka terpaksa membayar lapisan-lapisan tertentu... mereka berpakat antara satu sama lain untuk memberi kontrak,” katanya.

Akhbar turut menegaskan cadangan penubuhan jawatankuasa seumpama itu telah diamalkan di negara-negara lain.

Untuk rekod, di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Jawatankuasa Pengawasan dan Pembaharuan bertindak sebagai badan penyiasat utama untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.




#Jawatankuasa Pengawasan #Rasuah #integriti #Akhbar Satar