SINGAPURA: Satu pasukan petugas sudah ditubuh dan digerakkan bagi mencari penyelesaian kesesakan yang sering berlaku di Tambak Johor, terutamanya ketika hujung minggu, menjelang projek Rapid Transit System (RTS) Singapura-Johor Bahru link dijangka siap pada 2026.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Isnin menerusi laman rasmi Facebooknya selepas melawat tapak projek RTS Woodlands North Terminus.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran.

Beliau berkata penubuhan pasukan petugas itu adalah bagi penyelesaian jangka pendek.

Menurut laporan media, dianggarkan lebih 300,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari, menjadikannya laluan menyeberangi sempadan paling sibuk di rantau ini.



Beliau dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula 17 April dan ia adalah lawatan rasmi sulungnya ke Singapura sejak dilantik menjadi Menteri Besar pada Mac.

Onn Hafiz yakin sistem pengangkutan moden yang bakal siap dalam tempoh empat tahun itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

"Saya turut yakin apabila projek RTS siap kelak, projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan Negeri Johor, khususnya di Johor Bahru," katanya.

RTS Link, perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara perhentian Singapura di stesen Woodlands North dan perhentian Malaysia di stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.

Ia mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam untuk setiap laluan.

Penumpang bakal menikmati pengalaman perjalanan yang pantas dan lancar antara Singapura dan Johor Bahru dengan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen.

-- BERNAMA