MALAYSIA

Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat isu dana RM42 bilion 1MDB - Kit Siang

Astro Awani 01/03/2015 | 12:55 MYT
KIT SIANG: Dakwaan Sarawak report itu seharusnya diuruskan secara bertanggung jawab dan memuaskan
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjumlah RM42 bilion.

Gesaan itu dibuat dalam ucapannya di majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Labis, Johor siang tadi.

Kit Siang yang juga ahli parlimen Gelang Patah merujuk kepada laporan laman berita Sarawak Report yang mendakwa ia bersama akhbar Sunday Times yang berpangkalan di London mempunyai bukti dalam bentuk emel dan dokumen berhubung kehilangan dana 1MDB yang dikatakan berjumlah berbilion ringgit.

Bukti terbabit didakwa turut mengaitkan syarikat minyak PetroSaudi International dalam satu usahasama pada tahun 2009.

Kata Kit Siang lagi, memandangkan jumlah dana besar yang terlibat, dakwaan itu seharusnya diuruskan secara bertanggung jawab dan memuaskan selain tidak seharusnya di pandang sepi.

Sementara itu, PetroSaudi International dalam satu kenyataan hari ini menafikan sebuah laporan yang mendakwa kesemua wang yang diperuntukkan kepada 1MDB telah disalurkan kepada syarikat itu.

PetroSaudi International turut membidas laporan-laporan terbabit yang disifatkan sebagai “berniat jahat” dan mengandungi tuduhan-tuduhan liar.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #DAP #Lim Kit Siang #politik