'Tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya' - Khairy jelaskan Pak Lah kini hadapi dementia

Firdaus Azil
September 11, 2022 04:55 MYT
Khairy berkata, situasi Pak Lah merosot ke tahap - tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya' dan badan Pak Lah tidak berfungsi seperti sediakala. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan bapa mertuanya, yang juga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini mengalami penyakit dementia.
Ketika berucap merasmikan Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 di ibu negara pada Ahad, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keadaan Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, yang kini berusia 82 tahun, telah merosot sehingga ke tahap beliau tidak mengingati orang di sekelilingnya.
Malah, katanya lagi, Pak Lah juga telah sampai ke tahap – tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya – dan tubuh badannya tidak berfungsi seperti sediakala.
“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat, dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya. Beliau mempunyai dementia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana.
“Dementia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada. Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” katanya lagi.

Pak Lah suffers from dementia. It has been challenging for us to see the deterioration in his cognitive function. Some people are aware but many are not. The family has decided to openly share this partly to shine a light on dementia & cognitive impairment. https://t.co/BHav9buseb

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) September 11, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Khairy menyentuh mengenai kepentingan sokongan perubatan dementia, kerana majlis tersebut juga berkaitan pelancaran Garis Panduan Klinikal untuk Pengurusan Dementia (Edisi Ketiga), dan Pengurusan Skizofrenia (Edisi Kedua).
Mengulas lanjut, Menteri Kesihatan itu berkata, keluarga beliau mungkin mampu mendapatkan sokongan perubatan profesional untuk Pak Lah, tetapi situasi yang sama mungkin tidak dapat diperolehi atau diakses oleh sebahagian besar keluarga pesakit dementia di negara ini.
Khairy berkata, beliau dan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang merangka Kertas Putih Kesihatan yang turut merangkumi usaha pemerkasaan dan pelaburan bagi memastikan dalam komuniti mendapat akses penjagaan di rumah.
“Ini mungkin permulaan bagi rakyat Malaysia, yang telah menderita akibat keadaan ini. Saya berharap, dalam proses mendraf Kertas Putih, dan pada sama proses menstruktur bajet (2023) KKM, kami dapat menzahirkan kes yang kukuh supaya sektor penjagaan kesihatan mendapat lebih banyak dana.
“Ia adalah sesuatu yang amat penting supaya petugas kesihatan dapat bersama-sama dengan petugas sosial. Supaya kita semua berada dalam pemahaman yang sama,” katanya lagi.
Dalam pada itu Khairy berkata, KKM akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk mengkaji bagaimana penjagaan sosial di peringkat komuniti dapat ditingkatkan melalui tambahan peruntukan.
Beliau berkata, langkah itu dilihat perlu bagi membantu keluarga yang tak mampu menggajikan seorang jururawat untuk bersama ahli keluarga yang menghidap dementia.
#Khairy Jamaluddin #Abdullah Ahmad Badawi #Dementia #Pak Lah