Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan pemimpin politik bahawa peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013 sebagai 'sandiwara' merupakan tindakan biadab.

Tegasnya, tuduhan itu merupakan satu penghinaan kepada seluruh pasukan keselamatan negara terutama keluarga anggota yang terkorban.

"Saya ingin merujuk kepada satu rakaman video ucapan seorang pemimpin parti politik yang sedang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyentuh isu peristiwa pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.

"Tuduhan beliau bahawa peristiwa tersebut hanya satu sandiwara untuk kepentingan politik pihak tertentu adalah satu kenyataan biadab serta penghinaan kepada seluruh pasukan keselamatan negara khususnya kepada 10 keluarga anggota yang terkorban dalam peristiwa itu," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Dalam kenyataan yang tidak menamakan ahli politik terbabit, beliau berkata seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui kebenaran peristiwa itu, malah tiada pihak yang mempertikaikan kebenarannya.

"Dalam suasana negara baru sahaja menyambut Hari ATM yang ke-87 pada 16 September lalu, tuduhan ini mencerminkan betapa beliau tidak memahami serta memandang rendah pengorbanan pasukan keselamatan negara.

BACA: Mohamaddin Ketapi jawab isu dakwa pencerobohan Lahad Datu 'sandiwara', mohon maaf

BACA:
Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara

"Justeru itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan dan rasa tidak selesa mana-mana pihak khususnya perkara yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, dilaporkan mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara' ketika berucap semasa kempen untuk calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan 'perang' dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.