MALAYSIA

'Tuhan sahaja yang tahu...' - Fadhlina ikrar ambil tanggungjawab penuh

Astro Awani 18/10/2025 | 10:19 MYT
Fadhlina menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa pelajar sekolah. - Gambar/ FB Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berikrar mengambil tanggungjawab penuh dan akan memperkukuh langkah keselamatan di sekolah berikutan beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar sekolah yang berlaku baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berikrar mengambil tanggungjawab penuh dan memperkukuh langkah keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar, termasuk kes bunuh, cabul dan rogol yang berlaku dalam tempoh dua minggu.
  • Kementerian Pendidikan komited melaksanakan reformasi keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan, dengan penambahbaikan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah berada pada tahap terbaik.
  • Fadhlina turut menghargai sokongan ibu bapa dan komuniti PIBG dalam tempoh mencabar ini, serta menyeru kerjasama semua pihak untuk membina semula kekuatan dan memastikan insiden seumpama tidak berulang.


Menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung kejadian terbabit, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan reformasi keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

"Tuhan sahaja yang tahu. Ya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Duka menerima satu lagi berita kematian anak murid yang dikasihi. Hati saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah menangisi tragedi ini.

"Bertabahlah para guru sekalian! Ujian ini akan kita lalui bersama. Ketika jiwa kita runtuh berderai, kita harus kutip segera kepingan yang ada untuk dicantumkan menjadi sakti kembali.

"Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya.
We will do better.

"Memastikan tambah baik kepada aspek keselamatan di semua institusi bawah Kementerian Pendidikan (KPM). Reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah selamat ini kita lakukan bersama-sama!," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Fadhlina berkata langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah berada pada tahap terbaik agar terus selamat dan sejahtera di sekolah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta komuniti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan berterusan kepada pihak sekolah dalam tempoh mencabar itu.

"Buat ibu bapa yang sentiasa menitipkan semangat dan sokongan, terima kasih yang tidak terhingga. Bantulah kami dengan apa cara sekalipun, demi anak-anak kita. Sokongan dan perhatian ibu bapa ketika ini amat penting untuk kami bina semula kekuatan dan roh sekolah ini," katanya.

Antara insiden jenayah yang berlaku di sekolah baru-baru ini ialah seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Okt lepas dan suspek dalam kes itu, iaitu pelajar lelaki berumur 14 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Selain itu, pada 7 Okt seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan menjadi mangsa cabul oleh pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya, dan pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dirogol pelajar senior pada 2 Okt.








#pelajar maut ditikam #keselamatan sekolah #Fadhlina Sidek #Menteri Pendidikan Malaysia