KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi lebuh raya TuJu menyasarkan gangguan fungsi navigasi yang dialami pengguna sejak beberapa hari lalu dapat dipulihkan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 6 November 2026.
Dalam kenyataan hari ini, pihak pengurusan TuJu memaklumkan pasukan teknikal sedang melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan bagi memastikan fungsi navigasi kembali beroperasi dengan stabil dan lancar, selain memenuhi keperluan perjalanan pengguna.
"Kami akan memaklumkan perkembangan kerja pemulihan melalui saluran rasmi TuJu. Ketika ini, fungsi lain dalam aplikasi kekal boleh digunakan seperti biasa.
"TuJu berterima kasih atas kesabaran serta sokongan dan dukungan para pengguna. Setiap laporan dan maklum balas membantu kami mengenal pasti masalah serta melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan," jelas kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan bahawa usaha akan diteruskan bagi memenuhi harapan pengguna agar aplikasi itu menjadi antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia.
TuJu turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna serta menghargai pandangan dan teguran yang diberikan terhadap perkhidmatannya.