[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Tujuh bilik musnah, operasi padam kebakaran SMK Lahat hampir lima jam

Sinar Harian 12/04/2025 | 10:50 MYT
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang. -Foto ihsan Bomba Perak/Sinar Harian
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa hampir lima jam bagi memadam kebakaran deretan kelas di tingkat tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat di sini pada Sabtu.

Ringkasan AI
  • JBPM Perak mengambil masa hampir lima jam untuk memadam kebakaran di tingkat tiga SMK Lahat, melibatkan tiga bilik darjah, dua stor, sebuah bilik khas, dan studio seni.
  • Kebakaran tidak melibatkan mangsa kerana mesyuarat PIBG dilakukan di bangunan berlainan, dan kebakaran memusnahkan kira-kira 30 peratus bahagian bumbung.
  • Operasi pemadaman melibatkan 23 anggota bomba dan dibantu oleh 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela, dengan pemantauan dilakukan untuk memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran melibatkan tiga bilik darjah, dua stor dan masing-masing sebuah bilik khas dan studio seni.
Menurut beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa berikutan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dilakukan di bangunan berlainan.
"Setibanya di lokasi, tingkat tiga sebuah blok bangunan mengalami kebakaran di bahagian bumbung dan melibatkan tujuh bilik yang musnah kira-kira 30 peratus.
"Operasi pemadaman menggunakan aliran air sehingga api padam sepenuhnya. Pasukan kemudian membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang," katanya, di sini.
Sabarodzi berkata, seramai 23 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih, Batu Gajah dan Simpang Pulai telah ditugaskan dalam operasi itu.
Tambahnya, operasi turut dibantu 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, Pasir Pinji, Pusing serta Pekan Baru dan operasi tamat pada jam 3.55 petang. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #padam kebakaran #JBPM Perak #SMK Lahat