Tujuh ekor lembu mati dirempuh lori dan kereta

Aida Aziz
November 18, 2019 08:30 MYT
Sekumpulan lembu yang dirempuh oleh sebuah lori sehingga menyebabkan mati dalam kejadian di Kilometer 31, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar pada awal pagi Isnin. - Gambar PDRM
Tujuh ekor lembu ditemui mati akibat dirempuh sebuah lori dan kereta di Kilometer 31, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Suprintenden Hasron Nazri Hashim, kejadian berlaku sekitar pukul 4 pagi Isnin apabila sekumpulan lembu keluar dari tepi jalan sebelah kiri.
Katanya, kedua-dua pemandu itu tidak sempat mengelak disebabkan jarak yang terlalu dekat lalu merempuh lembu-lembu berkenaan.
"Siasatan awal mendapati pemandu lori, Harbans Singh Jagar Singh, 55, yang berasal dari Kampar memandu dari Ipoh menuju ke Kampar.
"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sekumpulan lembu keluar dari tepi jalan sebelah kiri. Disebabkan jarak yang terlalu dekat mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar sekumpulan lima ekor lembu," katanya.
Tambahnya, seorang lagi pemandu kereta yang belum dikenal pasti identitinya datang dari arah bertentangan iaitu dari Kampar menghala Ipoh juga tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua ekor lembu di laluannya.
"Perlanggaran telah menyebabkan tujuh ekor lembu mati, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemandu kereta itu juga masih belum melaporkan kemalangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
#Kampar #mati dirempuh lori dan kereta #tujuh ekor lembu