Tujuh 'hotspot' risiko banjir di Kelantan

Sinar Harian
Disember 31, 2021 02:57 MYT
Zainal (dua, kiri) bersama pegawai dan anggotanya membuat tinjauan dan menyampaikan bantuan makanan keperluan asas kepada penduduk Kampung Legeh. - Foto BERNAMA
JELI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah mengenalpasti tujuh kawasan panas (hotspot) di negeri ini yang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, tujuh lokasi itu ialah Gua Musang; Limau Kasturi (Gua Musang), Sungai Golok (Rantau Panjang), Machang, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.
"Bagaimanapun, pihak kami tetap membuat pemantauan di lokasi-lokasi lain yang mempunyai risiko dilanda banjir," katanya kepada pemberita selepas turun padang membuat tinjauan dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Legeh, Ayer Lanas di sini pada petang Khamis.
Hadir sama Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Nazili Mahmood.
Semasa tinjauan itu dilakukan, banjir yang melanda kampung berkenaan sudah surut.
Menurutnya, pemantauan itu bagi melancarkan operasi dan pengawasan semasa memindahkan mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, tahap kesedaran masyarakat di negeri ini untuk segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semakin tinggi apabila rumah mereka mula ditenggelami banjir.
Katanya, pengalaman bah kuning 2014 lalu membuatkan mereka semakin peka dan tidak lagi mengambil mudah berkait soal keselamatan.
"Alhamdulillah, langkah awal yang diambil penduduk amat membantu JBPM Kelantan dalam tugas-tugas menyelamat," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#banjir #titik panas #Kelantan #JBPM