NATIONAL
Tujuh kedai di medan selera terbakar
Api marak di medan selera separuh kekal di Restoran Jeng Kuan, awal pagi tadi. - Sinar Harian
BATU PAHAT: Sebanyak tujuh lot kedai di medan selera separuh kekal di Restoran Jeng Kuan di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Abdul Ghafar Mahadi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.02 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Jarak lokasi kejadian kira-kira tiga kilometer dari balai, dan jentera pertama tiba dalam tempoh empat minit.
“Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran melibatkan enam hingga tujuh gerai makan dalam kawasan seluas kira-kira 2.78 x 7.43 x 0.92 meter persegi sudah marak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan dengan bantuan 21 anggota menggunakan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Perkhidmatan Penyelamatan, Perawatan Kecemasan (EMRS).
Sebanyak dua aliran hos sepanjang 60 meter digunakan dari pili bomba berhampiran bagi memadamkan api sepenuhnya.
“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.39 pagi.
“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan, namun dianggarkan 60 peratus kawasan terbabit musnah dalam kebakaran ini.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” katanya. -- Sinar Harian