Skip to main content

Malaysia

Tujuh kes penipuan tempahan kuih dan makanan, libat kerugian lebih RM300,000

GOPENG, 17 Mac -- Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisham Nordin (tiga,kiri) menyampaikan cenderahati kepada penunggang motosikal ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) hari ini._BERNAMA
Noor Hisam (tiga,kiri) menyampaikan cenderahati kepada penunggang motosikal ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, 17 Mac 2026. --fotoBERNAMA

IPOH: Polis menerima tujuh laporan berkaitan penipuan tempahan kuih dan makanan yang melibatkan kerugian melebihi RM300,000 di Perak.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Noordin berkata modus operandi suspek pada awalnya membuat tempahan dalam kuantiti tertentu kepada pengusaha bakeri atau katering sebelum memberikan tempoh masa untuk menyiapkan pesanan berkenaan.

Advertisement

“Selepas itu, suspek akan membuat permintaan tambahan untuk item tertentu yang kebiasaannya tidak dihasilkan oleh pengusaha berkenaan.

“Suspek kemudian akan memberikan satu nombor telefon lain yang kononnya boleh membekalkan item berkenaan dan meminta pengusaha menghubungi nombor itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat XXVI sempena Aidilfitri 2026 Peringkat PDRM Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini semalam.

Beliau berkata apabila mangsa menghubungi nombor yang diberikan, individu berkenaan akan bersetuju untuk menyediakan item itu namun meminta bayaran dibuat terlebih dahulu.

“Beberapa pengusaha membuat bayaran kepada nombor itu, namun selepas bayaran dibuat kedua-dua individu berkenaan tidak lagi dapat dihubungi dan ketika itu mangsa baru menyedari mereka telah ditipu,” katanya.

Noor Hisam berkata mangsa bukan sahaja menanggung kerugian kerana menyediakan tempahan makanan yang tidak diambil, malah turut kehilangan wang selepas membuat bayaran kepada individu yang diberikan oleh suspek.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan pengusaha makanan dan bakeri supaya lebih berhati-hati serta mendapatkan deposit atau membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menerima tempahan dalam jumlah besar bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video