ALOR SETAR: Sebanyak tujuh buah sekolah lagi ditutup selama dua hari bermula 27 April di Kedah akibat penularan COVID-19 yang melibatkan warga di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pumpong dan SK Dato Wan Mohd Saman di daerah Kota Setar serta SK Dato Wan Kemara di daerah Kubang Pasu.

Turut ditutup katanya, SK Hj Rahman di daerah Pendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas serta SK Junjong di Kulim.

"Pertambahan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 10 buah sekolah ditutup di negeri ini setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, semua pelajar dikuarantin di rumah dan perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Keputusan ini dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya.

Sementara itu, sekolah lain yang masih ditutup ialah SMK Agama Kedah di daerah Kota Setar, Maktab Mahmud Baling dan SMK Baling.

Berita asal: Tujuh buah lagi sekolah di Kedah ditutup