BALING: Seorang pemilik bengkel motosikal buntu apabila tujuh motosikal pelbagai jenis milik pelanggannya hangus dalam kebakaran di Kampung Kuala Darak, Kuala Ketil, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan kejadian pada jam 7.38 pagi sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi didapati api sedang marak membakar keseluruhan bengkel terbabit.

“Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk memadam api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bengkel yang diperbuat daripada kayu dan papan kelas B musnah seratus peratus termasuk tujuh buah motosikal pelbagai jenis.

 Keadaan di bengkel motosikal yang terbakar 100 peratus. - Foto ihsan JBPM

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian pemilik bengkel berada di rumahnya yang terletak tidak jauh dari bengkel.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.