Tujuh remaja masih bersekolah antara 23 individu yang ditahan kerana didapati positif dadah dalam operasi yang diadakan ke atas dua pusat hiburan di sekitar Subang Jaya dan USJ 19.

Operasi Ops Bersepadu yang dijalankan penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) turut disertai pasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

Antara dadah yang dikesan termasuk methamphetamine, amphetamine dan ganja.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor, Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, pihaknya akan dapatkan perintah mahkamah supaya mereka yang ditahan ini menjalankan program pemulihan bersama AADK.

"Lingkungan umur mereka yang ditahan adalah antara 16 hingga 25 dan kami dapati tujuh daripada mereka yang positif dadah adalah dibawah 18 tahun.

"Mereka ini masih bersekolah dan kami telah menghubungi ibu bapa mereka," katanya.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke AADK untuk tindakan lanjut dibawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah 1983.

Sementara itu Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pusat hiburan terbabit didapati beroperasi tanpa lesen dan pernah diserbu sebelum ini atas kesalahan menyediakan pusat judi secara haram.

"Selepas kami memecah masuk ke premis berkenaan, kami dapati terdapat satu pintu rahsia yang digunakan oleh pengunjung bagi melarikan diri.

"Lesen premis ini telah ditarik balik pada tahun 2017 atas kesalahan mengadakan aktiviti perjudian dan pada 2018 kami dapati premis ini kembali beroperasi secara haram," katanya.