Skip to main content

Malaysia

Tujuh seksyen berkaitan mahasiswa diberi keutamaan dalam proses pemansuhan AUKU - Zambry

KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) berucap ketika majlis perasmian SUKIPT 2026 di Universiti Malaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zanbry berucap pada Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM) Arena, Kuala Lumpur semalam.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tujuh seksyen berkaitan mahasiswa termasuk aspek kebebasan yang diperuntukkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan diberikan keutamaan dalam proses pemansuhan akta itu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata daripada keseluruhan 44 seksyen dalam AUKU, tujuh daripadanya berkaitan mahasiswa, manakala selebihnya meliputi pelbagai aspek termasuk penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti.

Zambry berkata AUKU perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh kerana akta itu bukan hanya berkaitan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan sesebuah universiti.

“Perkara berkaitan AUKU juga telah dibincangkan pada peringkat Kabinet dan perincian mengenainya akan diperhalusi secara berterusan.

“AUKU itu ialah akta ibu universiti, yang utama bagi penubuhan sebuah universiti. Maknanya tak ada AUKU, tak ada universiti kecuali Universiti Malaya ada akta lama, Akta 1961. Tapi universiti lain semua tak ada, semuanya bergantung kepada AUKU untuk wujud,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM) Arena, di sini semalam.

Dalam pada itu, Zambry berkata AUKU yang telah berusia lima dekad wajar dilihat semula mengambil kira perkembangan negara, termasuk dalam bidang pendidikan selaras dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu aspek perundangan berkaitan mahasiswa diteliti semula.

Beliau berkata langkah susulan akan diambil bagi memastikan proses pemansuhan AUKU dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan cadangan pemansuhan AUKU, antara lain bertujuan memberikan ruang kepada mahasiswa bersuara secara bebas serta mengembangkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritis.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement