MALAYSIA

Tujuh wanita India diselamatkan, anggota polis antara didakwa terlibat pemerdagangan orang

Afiezy Azaman 18/10/2025 | 03:45 MYT
M Kumar berkata, semua mangsa berusia antara 25 hingga 40 tahun datang ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan tujuh wanita warga India yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Jalan Ampang, ibu negara, pada 30 September lalu.


Ringkasan AI
  • PDRM selamatkan tujuh wanita India dalam serbuan Op Pintas di Jalan Ampang, dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
  • 12 suspek ditahan termasuk dua lelaki tempatan dan seorang anggota polis, lima daripadanya didakwa di bawah Akta ATIPSOM 2007.
  • Polis tegaskan komitmen banteras jenayah pemerdagangan orang, dan seru orang awam tampil salur maklumat.


Operasi Op Pintas (Eksploitasi Seks) itu dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sekitar jam 1 pagi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, semua mangsa berusia antara 25 hingga 40 tahun datang ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah, namun dipaksa menjadi pekerja seks dan dikawal ketat oleh sindiket.

“Hasil siasatan mendapati terdapat mangsa yang turut dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan diberikan oleh sindiket.

"Dalam serbuan tersebut, polis menahan 12 individu terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 34 dan 63 tahun, serta enam lelaki dan empat wanita warga India berumur antara 21 hingga 58 tahun.

Siasatan mendapati semua suspek adalah ahli sindiket yang memperdagangkan mangsa terbabit, "katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Pada 16 Oktober lalu, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan lima individu termasuk seorang anggota polis telah dituduh di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Selain itu, lima warga asing lain turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada Jumaat.

Seksyen 12 ATIPSOM memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali, serta boleh dikenakan sebatan.

Datuk M. Kumar menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkenaan.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang melalui balai polis berhampiran.





#sindiket pemerdagangan manusia #wanita India #pembantu rumah #M Kumar