KLUANG: Seorang tukang masak berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua tuduhan memiliki dan mengedar dadah pada awal bulan ini.

Tertuduh, Wong Chee Chuen 34, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 6083.18 gram di sebuah rumah di Taman Sam Hoe dekat sini pada kira-kira jam 11 pagi, 8 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis ketamin pada 7.70 gram di rumah, masa dan tarikh yang sama serta didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Siti Nurfara Fazilun Izlyn Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Thomas Chin.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 13 Disember sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang tukang masak ditahan di rumah sewanya kerana disyaki memiliki dadah jenis ekstasi lebih enam kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai hampir RM450,000.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki itu ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah Kluang kira-kira jam 11 pagi, 8 Oktober lalu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian