MALAYSIA

Tukang masak maut kereta terbabas ke dalam Sungai Petani

Adie Sufian Zulkefli 03/12/2025 | 02:40 MYT
Pasukan bomba yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang tukang masak maut selepas kereta yang dinaikinya bersama rakan sekerja terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Pengkalan, awal pagi tadi.

Mangsa, Loo Eng Huat, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam ketika mangsa memandu sebuah Toyota Vios dari arah Taman Intan.

“Kami menerima laporan pada jam 12.55 tengah malam mengenai sebuah kenderaan yang dipercayai melanggar besi penghadang jambatan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Menurut beliau, mangsa dipercayai tenggelam bersama kenderaan, manakala rakannya, Ooi Jing Huang, 30, sempat keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, manakala rakannya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.






#terbabas #lemas #tukang masak #Nahas