Tukang masak pukul majikan hingga maut direman

Adie Sufian Zulkefli
Februari 6, 2023 12:30 MYT
Siasatan awal polis mendapati, terdahulu berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dengan isteri serta anak perempuan suspek yang turut bekerja di restoran terbabit. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Pembantu tukang masak yang dipercayai menumbuk majikannya sehingga rebah sebelum disahkan meninggal dunia semalam, direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek berusia 55 tahun itu ditahan sejurus kejadian berlaku di sebuah restoran di Jalan Stadium di sini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau dan ujian air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
"Seramai lima saksi telah direkod keterangan bagi membantu siasatan. Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam kejadian jam 5.15 petang Sabtu, warga emas berusia 68 tahun itu rebah selepas dipercayai ditumbuk dan dipukul menggunakan kayu bendera oleh suspek yang juga pembantu tukang masak.
Siasatan awal polis mendapati, terdahulu berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dengan isteri serta anak perempuan suspek yang turut bekerja di restoran terbabit.
Polis percaya, isteri suspek berang selepas anak mangsa menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang sudah dicuci.
Ketika itu, mangsa dipercayai keluar dari restoran dan memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa.
Mangsa dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek membuatkan pekerjanya itu hilang sabar dan menyerang menggunakan sebatang kayu bendera serta menumbuk mukanya sebelum pergaduhan itu dileraikan.
Mangsa kemudian rebah dan dia yang mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan sakit tulang belakang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
#tukang masak #pukul majikan #majikan maut #Alor Setar