"Saya rasa bersalah pada ibu dan ayah".

Itu sekeping nota yang ditinggalkan seorang tertuduh sebelum cuba membunuh diri di kediamannya di Melaka pada 26 April lalu.

Tertuduh, Tan Sim Chuan, 32, yang juga tukang pemasang mozek itu didakwa cuba melakukan perbuatan tersebut akibat berdepan dengan masalah kewangan.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan cubaan bunuh diri mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda setahun atau denda atau kedua-duanya.

Seorang tukang pasang mozek dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan cubaan bunuh diri.

Majistret, Teoh Shu Yee sempat menasihatkan tertuduh bahawa cubaan membunuh diri bukan jalan terbaik.

"Sesiapa sahaja yang mempunyai masalah, mereka boleh hubungi talian yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau ahli psikologi untuk mendapatkan khidmat nasihat," katanya.

Tertuduh cuba membunuh diri di dalam bilik tidur di rumahnya di Blok B, Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Melaka kira-kira pukul 8 malam pada 26 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, insiden berkenaan tercetus selepas tertuduh bertengkar dengan abang iparnya ketika berada di dalam bilik tidur itu, kerana kerap meminjam wang daripada ibunya.

Tertuduh bertindak menutup dan mengunci pintu bilik serta menyelitkan sehelai nota di bawah pintu "Saya rasa bersalah pada ibu dan ayah", sebelum mengeluarkan sebelah kakinya di tingkap.

Selain itu, di mahkamah yang sama, tertuduh turut didakwa positif dadah jenis methamphetamine ketika diperiksa di Pejabat Narkotik Melaka Tengah pada 27 April lalu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan selama dua tahun.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan, justeru Majistret Shu Yee membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi.