[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Tukang rumah dipenjara enam tahun mengaku salah culik wanita

Bernama 26/03/2025 | 09:30 MYT
Seorang tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu, lapan tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Suparman Aman dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah menculik seorang wanita di ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob pada 24 Jan 2017.
  • Suparman meminta wang tebusan RM400,000 dan menerima RM50,000 yang dibayar oleh majikan mangsa.
  • Tiga rakan subahat Suparman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan atas pertuduhan yang sama pada 2 Julai 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani mengarahkan Suparman Aman, 46, menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa menahan mangsa yang ketika itu berusia 28 tahun di ladang kelapa sawit pada 3 pagi, 24 Jan 2017 bagi meminta wang tebusan sebanyak RM400,000 sebelum menerima wang berjumlah RM50,000 yang dibayar majikan mangsa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris memohon hukuman paling maksimum dan katanya, tertuduh bertuah kerana ditawarkan pertuduhan pilihan selain mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam.
Peguam Ghazali Ismail yang mewakili Suparman memohon hukuman ringan kerana pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Hassan sebelum menjatuhkan hukuman itu bertanyakan sama ada tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan perasaannya setelah berjauhan dengan isteri serta tiga anaknya.
Hakim itu turut menasihati Suparman yang menyesal atas perbuatannya supaya sentiasa mengingati anak dan isteri sebelum melakukan sesuatu perkara.
"Ingatlah, kasihan pada anak dan isteri. Akhirnya, isteri juga yang menjadi mangsa," katanya selepas dimaklumkan Ghazali bahawa isteri tertuduh terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga setelah Suparman ditahan polis.
Pada 2 Julai 2020, tiga lagi rakan subahat Suparman iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa, dan Abdul Hadi Abu Bakar yang ketika itu masing-masing berusia 40, 42, dan 25 tahun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengikut Seksyen 3 akta sama.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tujuh sebatan terhadap Mohd Zairol Nizan dan masing-masing lima sebatan terhadap Mohd Khairul Anuar dan Abdul Hadi.
-- BERNAMA
#Tukang rumah dipenjara #culik wanita #ladang kelapa sawit #Hulu Terengganu