Tukar perdana menteri bukan macam tukar kasut - Hadi

Astro Awani
Julai 30, 2019 05:44 MYT
ABDUL HADI: Jadi perdana menteri bukan macam pakai kasut, tukar sekejap-sekejap. Biar betul-betul stabil. -Gambar fail
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan untuk menukar perdana menteri bukan seperti menukar kasut.
Angggota Parlimen Marang itu berkata ia tidak boleh dilakukan tergesa-gesa apatah lagi masih terdapat janji yang belum ditunaikan Pakatan Harapan selepas mentadbir negara.
Menurutnya, masa dan peluang juga harus diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selagi beliau mampu menggalas tugas tersebut.
"Jangan tergesa-gesa, apa lagi janji Pakatan Harapan belum ditunaikan. Belum apa-apa sibuk nak tukar tengah jalan.
"Jadi perdana menteri bukan macam pakai kasut, tukar sekejap-sekejap. Biar betul-betul stabil.
"Beliau ada pengalaman, jadi perdana menteri yang paling lama, ada peranan semasa dia memerintah dulu. Boleh ambik pengalaman dia.
"Apa lagi dengan usia dia; bagi peluang kepada dia selagi dia mampu laksanakan tugas itu," kata Abdul Hadi.
Beliau berkata tempoh matang juga perlu bagi menukar pemimpin nombor satu negara dan ketika ini Dr Mahathir lebih menonjol dalam Pakatan Harapan.
#Abdul Hadi Awang #janji Pakatan Harapan #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #tukar kasut #tukar Perdana Menteri