IPOH: Inisiatif pertukaran sampah kepada barangan makanan asas yang dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ipoh City Watch (ICW) berjaya menarik minat kira-kira 450 penduduk Pangsapuri Kinta Heights, di sini, untuk mengamalkan kitar semula.
Inisiatif yang bermula sejak 2021 itu menggunakan sistem barter bagi mendidik penduduk di pangsapuri berkenaan menjaga kebersihan persekitaran, seterusnya memberi kesan positif kepada alam sekitar.
Presiden ICW, Dr Richard Ng berkata, antara barangan yang paling banyak dikumpul untuk dikitar semula ialah botol air mineral dan minyak masak, selain tin dan kertas.
"Kita (ICW) mendidik mereka (penduduk) supaya mengamalkan kitar semula kerana sebelum pelaksanaan inisiatif ini, terdapat penduduk yang membuang sampah merata-rata tempat dan ia menyebabkan kawasan ini menjadi kotor dan busuk.
"Jadi, tidak kira berapa banyak sampah yang mereka bawa untuk dikitar semula sama ada sedikit atau banyak, kita akan berikan barangan makanan asas yang bernilai RM30 kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Program Merdeka Trash For Food di Pejabat ICW di pangsapuri berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan beberapa kali dalam setahun terutamanya menjelang sesuatu perayaan dengan menggunakan kupon dan sistem penggiliran penerima barangan makanan.
Richard berkata, selain barangan makanan asas, pihaknya turut mengedarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.
-- BERNAMA