Tular: Dua individu selamba tunggang motosikal separuh bogel di Kuala Terengganu

Sinar Harian
April 13, 2022 09:41 MYT
Gambar tular memaparkan penunggang lelaki yang hanya mengenakan seluar pendek manakala pembonceng wanita hanya berpakaian dalam di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Dua individu dipercayai pelancong asing didapati menunggang motosikal dalam keadaan separuh bogel di pusat bandar Kuala Terengganu di sini.
Perbuatan penunggang lelaki mengenakan hanya seluar pendek manakala pembonceng wanita hanya berpakaian dalam itu berjaya dirakam pengguna jalan raya di Jalan Tok Lam di sini sebelum gambar itu tular di media sosial sejak tengah hari Rabu.
Kebanyakan warganet mempertikaikan tindakan itu, malah ada yang menyifatkan ia sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang kini menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Bagaimanapun hari dan waktu gambar itu dirakam tidak dapat dipastikan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan akan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas pada masa akan datang.
Katanya, bahagian Jawatankuasa Dakwah dan Pelaksanaan Syariah akan menyiasat perkara itu bagi memastikan sama ada ia pertama kali atau pernah berlaku sebelum ini.
"Kita kesal dengan apa yang berlalu kerana ia telah mencemar imej negeri Terengganu. Kerajaan tidak akan membiarkan ia berleluasa.
"Kita akan kenal pasti latar belakang individu itu sama ada mereka merupakan pelancong yang pernah sampai atau belum pernah ke Terengganu.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#separuh bogel #menunggang motosikal #pelancong #Kuala Terengganu #video tular